Friday, June 4, 2010

KAU, AKU dan KAMI dalam kurniaan rezeki

Alhamdulillah 3 minggu lepas saya telah menghabiskan Buku Nota Hati Seorang Lelaki. Buku yang saya beli kira-kira 2 bulan lepas. Agak menarik pengisian dalam buku tersebut. Sedikit perkongsian daripada 1 bab daripada Buku Nota Hati Seorang Lelaki hasil tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi.. "KAU, AKU dan KAMI dalam kurniaan rezeki". Mungkin pernah terlintas di fikiran kenapa Allah kadang-kadang menggunakan 'AKU', kadang-kadang pula menggunakan 'KAMI' dalam Al-Quran. Buku ini menjawab persoalan tersebut.


Aneh, kadangkala Kau gunakan ‘Aku’, kekadang Kau gunakan ‘Kami’. Aku amat daif, tidak mudah mengerti akan maksud-Mu. Namun, kemudiannya aku dikejutkan oleh pancaran ilmu. Terkesima sebentar, mengapa selama ini aku tegar melupakan. Kaulah ‘Aku’ dan Kau jualah ‘Kami’.



Itulah catatan awal saya pada diari 2007.



Seusai kuliah tafsir hari itu saya termenung. Kagum dengan bahasa al-Quran. Amat tinggi makna dan didikannya.



“Dalam al-Quran ALLAH ada menggunakan ganti nama Ana – maksudnya ‘Aku’. Tetapi pada keadaan-keadaan tertentu, ALLAH gunakan ganti nama Nahnu – maksudnya ‘Kami’. Apa rahsianya? Maha suci ALLAH, yang tidak akan menyatakan sesuatu yang kecil dan remeh dalam kitab-Nya yang maha besar dan agung. Perbezaan itu pasti ada makna yang berbeza.” kata ustaz memancing tanda tanya.



“Apa bezanya, ustaz?” saya seakan merayu.

“Bila ALLAH gunakan ‘Kami’, itu menunjukkan ada keterlibatan ‘pihak’ lain dalam perlakuan dan ketentuan-Nya. Contohnya, dalam pemberian rezeki kepada manusia, ALLAH gunakan ganti nama ‘Kami’.” beliau menjawab.



Belum sempat saya bertanya lagi, beliau terus menyambung, “sebab dalam pemberian rezeki ALLAH libatkan matahari, hujan, air, haiwan, tumbuhan dan lain-lain. Buah-buahan yang dimakan manusia misalnya, ada campur tangan makhluk lain yang menyampaikan rezeki dari ALLAH itu kepada kita.”



Saya diam. Berfikir.



“Ertinya, makhluk telah dijadikan saluran rezeki daripada ALLAH kepada makhluk yang lain?”



“Itulah kebesaran ALLAH. Tapi pada waktu yang sama, hakikat itu turut menguji kita.”



“Menguji kita? Bagaimana tu, ustaz?”



“Oleh kerana kurniaan rezeki dibuat oleh ALLAH secara tidak langsung yakni melalui saluran-salurannya, maka ramai manusia terlupa bersyukur kepada-Nya. Hati manusia terhijab daripada ‘melihat’ ALLAH di sebalik setiap rezeki. Manusia hanya melihat ‘aluran-saluran’rezeki, bukan sumber asas – ALLAH!”



“Oh, patutlah sikit sekali hamba yang bersyukur.”



“Itu ujian pertama, ada lagi ujian-ujian lain yang menyusul.”



“Ujian lain?” soal saya.



“Manusia terlupa bersyukur sesama manusia! Ada yang hanya mahu bersyukur kepada ALLAH tetapi tidak mahu bersyukur sesama manusia. Kononnya makhluk tidak harus bersyujur kepada sesama makhluk. Itu salah.”



“Jadi maksud ustaz, kita harus bersyukur kepada ALLAH sebagai sumber rezeki dan segala saluran-saluran rezeki-Nya?”



Dia mengangguk, senyum.



“Mengapa manusia tidak mampu bersyukur sesama manusia?” tanya saya lagi.



“Sebab hati manusia telah dilindungi oleh rezeki hingga lupa saluran rezeki itu. Berapa ramai peniaga yang hanya menghargai keuntungan tetapi tidak menghargai pelanggan? Berapa ramai murid yang menghargai ilmu tetapi melupakan guru? Berapa ramai pula yang menghargai nasi, lauk dan rumah tetapi memandang rendah para petani, nelayan dan pekerja? Menghargai keamanan, melupakan polis dan tentera?”



“Mengapa rezeki atau nikmat boleh menghijab hati daripada bersyukur kepada sesama manusia?”



“Sebab ramai manusia hanya ingat nikmat tapi lupa Pemberi Nikmat, ALLAH. Kalau dengan Pemberi Nikmat pun manusia boleh lupa, apalagi kepada saluran-saluran nikmat. Al hasil, tanpa disedari kita sering merasakan nikmat itu dari kita dan untuk kita.”



“Sedangkan nikmat itu hakikatnya daripada ALLAH dan perlu digunakan untuk ALLAH semula, kan?”



“Apa yang dikurniakan ALLAH untuk kita ialah hidayah-Nya kepada kita, dan apa yang kita lakukan terhadap anugerah itu adalah ‘hadiah’ kita kepada-Nya.”



“Walaupun sebenarnya hadiah kita kepada ALLAH itu akan pulang semula kepada kita? Maha suci ALLAH yang Maha Kaya daripada memerlukan sebarang manfaat daripada kita hamba-Nya.”



“Ada ujian lagi.”



“Ujian lagi?” tanya saya.



“Bukankah hidup itu satu ujian? Ingat tu. Ujian ketiga ialah buat saluran-saluran rezeki. Mereka juga diuji.”



“Maksud ustaz setelah penerima rezeki diuji, penyalur rezeki juga duiji?”



“Malah ujiannya lebih berat. Antaranya, jangan sekali-kali menyekat rezeki orang lain yang ‘melalui’ saluran kita. Itu samalah menyekat rezeki ALLAH kepada orang lain. Ingat, kekadang kita hanya jadi saluran. Rezeki yang datang bukan untuk kita tetapi kita diuji untuk memberikannya kepada orang lain.”



“Wah, ini amanah untuk orang berharta, berilmu, bertenaga.”



“Amanah yang kerap dipersia. Harta ditahan, diempang, tanpa dilepaskan oleh si kaya. Ilmu disembunyikan, dikekang, oleh yang alim dan arif. Tenaga dipendam oleh yang gagah dan berkemahiran. Ini ujian buat saluran rezeki.”



“Mereka tidak bersyukur. Mengikut apa yang saya tau, syukur itu ada tiga. Syukur dengan lidah, hati dan anggota. Syukur pada anggota ialah bila kita dapat gunakan nikmat selaras dengan tujuan ALLAH mengurniakan nikmat, bukan begitu ustaz?”



“Ya. Si kaya diberi harta dengan maksud membantu yang miskin. Yang alim mengajar yang jahil. Yang kuat membantu yang lemah. Itulah tujuan ALLAH mengurniakan rezeki kepada saluran-saluran-Nya.”



“Terima kasih ustaz. Hampir lupa saya, itu rahsia di sebalik ganti nama ‘Kami’. Apa pula maksud di sebalik ganti nama ‘Aku’?” tanya saya seakan mengingatkan.



“Bila ALLAH gunakan ‘Ana’ atau Aku, ALLAH selalunya merujuk kepada pengampunan dosa, penerimaan taubat. Maksudnya, dalam penerimaan taubat dan pengampunan dosa, ALLAH menggunakan ganti nama diri-Nya sendiri. ALLAH tidak melibatkan saluran-saluran dari kalangan makhluk-makhluk yang lain.”



“Maksudnya?”



“ALLAH secara langsung mengampunkan dosa para hamba-Nya yang bertaubat. Itu sebabnya digunakan kalimah ‘Aku’, bukan lagi ‘Kami’.”



“Implikasinya?”



“Jika kita berdosa, mohon taubat secara langsung kepada ALLAH. Dan ALLAH akan mengurniakan keampunan-Nya, tanpa melalui perantaraan lagi. Tidak seperti rezeki yang dikurniakan melalui saluran-saluran-Nya.”



“Tapi hakikatnya, pengampunan dosa dan pengurniaan rezeki sama-sama milik ALLAH jua, ....kan....? Yang berbeza hanya caranya.”



“Begitulah keagungan dan kebesaran ALLAH. Pada saluran-saluran rezeki terserlah kebesaran kerajaan-Nya yang maha luas dan daerah takluk-Nya yang tidak terbatas. Itulah rahsia di sebalik ganti nama ‘Kami’. Namun pada sifat Pengampun dan penerimaan taubat-Nya terserlah keakraban dan keintiman-Nya yang mencecah hati manusia. Itulah yang tersirat di sebalik ganti nama ‘Aku’.” rumusnya seakan penutup bicara.



“Terima kasih ustaz, terima kasih ustaz.” kata saya berkali-kali.



“Terima kasih kembali. Saya pada zahirnya hanya menjadi saluran-Nya untuk kamu dan kamu pula menjadi saluran-Nya untuk saya. Marilah kita bersyukur sesama kita sebagai jalan bersyukur kepada ALLAH.”



Dalam hati saya tidak berhenti-henti bersyukur. Mujur masih ada ulama yang begini, yang hanya merasai dilibatkan oleh ALLAH dalam Kami-Nya bukan Aku-Nya. Dengan kenangan di kuliah tafsir pada Mei 2006 itu, saya catatkan:



Ya ALLAH, ampunkan aku dengan ‘Aku’-Mu dan kurniakanlah aku rezeki melalui ‘Kami’Mu!



Dan dengan itu saya akhiri catatan awal di diari 2007!

No comments:

Post a Comment